Search

Mustapha Sakmud bakal bertanding PRN17

July 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud tidak menafikan spekulasi mengenai dirinya yang dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi itu, termasuk kerusi yang bakal ditandinginya.

“Terima kasih atas spekulasi itu, saya akan pertimbangkan untuk bertanding. Tunggu nanti kita akan umumkan perkara ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mustapha yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud sebelum ini disebut bakal bertanding sama ada di salah satu daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Sepanggar atau salah satu daripada empat kerusi DUN di Parlimen Kota Belud.

Beliau yang baru dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah pada Mei lalu, kini giat menyusun jentera parti untuk menghadapi PRN17.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata PKR Sabah sudah mengenal pasti beberapa kerusi yang berpotensi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama kawasan DUN yang diintai parti itu, namun mengesahkan dua kerusi yang disandang parti itu, iaitu Inanam dan Api-Api bakal ditandingi semula.

“PKR Sabah sudah mengenal pasti beberapa kerusi yang kita boleh jadikan pilihan dan kita sedang melihat status kekuatan parti di kawasan itu, namun ini belum boleh didedahkan lagi.

“Namun, dua kerusi yang disandang PKR, iaitu Inanam dan Api-Api akan dikekalkan. Cuma, kita akan pastikan ada tambahan kerusi lagi nanti,” katanya.

Kerusi DUN Api-Api kini disandang Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew, manakala Inanam disandang Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim. – Info X