KOTA KINABALU: Seramai 10 individu termasuk dua pengurus bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang dikaitkan dengan kehilangan RM24.2 juta deposit pelanggan bank.
Semua tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh terbabit ialah Josepin J Langkan, 38; T Subramaniam, 56; Nasir Abdul Rasid, 60; Iren Chin Nyuk Thien, 38; Christina @ Caraline Pianus Etip, 53; P Sugumaran, 56; Vireonis Jonok, 35; Leong Hin Ping, 62; Hasran Magin, 46 dan Mazlani Jenuary, 53.
Mereka masing-masing dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material yang dilakukan antara April hingga awal Julai tahun ini.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff, manakala semua tertuduh diwakili peguam masing-masing, kecuali Hasran yang belum melantik peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan dan tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh.
Ends