KOTA KINABALU: Sabah FC berjaya dalam misinya untuk kembali memenangi perlawanan di laman sendiri selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Dua gol Sang Badak itu dijaringkan Daniel Ting pada minit ke-13, diikuti Mohd Jafri Chew hasil sepakan penalti pada minit ke-80.
Sabah diberikan sepakan penalti selepas penyerang importnya, Telmo Castanheira dijatuhkan pemain pertahanan NSFC, Zainal Abidin Jamil di kawasan kotak penalti.
Ketika aksi separuh masa pertama, Daniel membuka jaringan Sabah selepas menerima hantaran Telmo untuk Sang Badak mendahului jaringan dengan 1-0 hingga tamat babak pertama.
Berbekal jaringan berkenaan, skuad Sang Badak tetap memiliki kelebihan untuk meneruskan aksi dengan lebih yakin bagi menambah gol pada separuh masa kedua.
Namun, cubaan yang tidak menepati sasaran membuatkan tuan rumah gagal menambah jaringan hinggalah insiden penalti pada minit ke-80 yang berjaya melebarkan jaringan Sabah kepada 2-0.
NSFC pula terpaksa bermain 10 pemain selepas seorang pemainnya dilayangkan kad merah pada minit ke-65 atas kesalahan menerjah kaki pemain gantian Sabah, Azhad Harraz Arman.
Perlawanan kemudiannya berakhir dengan kemenangan 2-0 tuan rumah meskipun berlaku satu insiden pergaduhan di antara kedua pasukan pada minit kecederaan. – Info X