SANDAKAN: Dendam dipercayai menjadi motif utama seorang anak pemilik restoran maut dibunuh sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di kawasan semak ladang sawit Jalan Sungai Memanjang, di sini, semalam.
Mangsa Naufal Abdul Rashid, 35, yang hilang sejak Ahad lalu ditemui kira-kira jam 11 pagi semalam selepas sepasukan polis melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan susulan laporan sebuah kenderaan pacuan empat roda hangus terbakar.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, hasil siasatan polis sudah mengenal pasti suspek yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh berkenaan.
Katanya, suspek dikenal pasti selepas seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat berkenaan.

“Tiga lelaki juga sedang dikesan bagi membantu siasatan iaitu Mohd Jasmin Ruslan atau dikenali sebagai Ahcok berusia 24 tahun warga Indonesia.
“Dua lagi warga tempatan iaitu Mohamad Zulfaizzie Mohd Firdaus, 24, dan lelaki yang hanya dikenali sebagai Komeng berusia 20-an.
“Wanita yang ditahan adalah bekas isteri salah seorang suspek yang masih dicari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, petang tadi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungan mangsa dengan ketiga-tiga suspek, Ramasamy berkata, mangsa ada berkenalan dengan seorang wanita iaitu adik kepada Ahcok.

Manakala katanya, dua lagi suspek yang diburu adalah rakan kepada Ahcok.
“Siasatan juga mendapati beberapa saksi utama telah dirakam percakapan dan motif utama membunuhan disyaki dendam dan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
“Oleh itu mereka berjumpa di Sandakan bagi berbincang dan menyelesaikan masalah terbabit. Setakat ini, motif pembunuhan dikaitkan dengan hubungan mangsa dan adik Ahcok sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya.
Katanya lagi, berdasarkan maklumat orang hilang yang diterima, mangsa hilang pada jam 4 pagi 21 Julai dan kali terakhir mangsa ditemui bersama dengan Ahcok.
“Masa sebenar kematian dan bila mangsa dibunuh belum dapat dipastikan. Namun mayat mangsa kini sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK). Bedah siasat serta proses pengecaman akan dijalankan pada esok.
“Memandangkan kes ini menarik dan keadaan mayat itu sendiri tidak sempurna, proses bedah siasat akan dijalankan oleh doktor pakar dari Kota Kinabalu,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes masih dalam siasatan berikutan hasil pemeriksaan awal tidak menemukan kesan terbakar pada mangsa, namun kereta dipercayai milik mangsa yang ditemukan di lokasi kejadian terbakar sepenuhnya.
“Pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan apa-apa senjata berkaitan kes ini. Pasukan Forensik sudah menjalankan siasatan lanjut.
“Sehingga kini, kita belum menemukan sebarang senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Semalam, IPD Sandakan menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan pada 10.50 pagi.
Susulan itu, sepasukan polis digerakkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut sebelum menemui kenderaan terbakar di kawasan hutan berhampiran dan tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.
Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi itu dan menemukan mayat tidak sempurna kira-kira 16 meter dari kenderaan berkenaan.
Hasil siasatan yang dijalankan di lokasi dan berdasarkan pakaian serta seluar mangsa merujuk kepada satu laporan orang hilang pada Ahad lalu. – Info X