Search

Piala MFL: Sabah FC II idam kemenangan pertama di Likas

July 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC II mahu melakar kemenangan pertama dalam saingan Piala MFL musim ini pada pertemuan dengan Kedah Darul Aman FC B di Stadium Likas, malam ini.

Ia diharap menjadi kenyataan di bawah bimbingan pengendali baharunya, Alto Linus selepas mengambil alih tugas memulihkan pasukan daripada Johny Dominicus kira-kira tiga minggu lalu.

Alto yakin pembaharuan yang dibawanya dalam pasukan mampu membangkitkan semula semangat pemain Sabah FC II untuk memperbaiki kualiti permainan sekali gus mencatat kemenangan.

“Setakat ini apa yang dapat saya lihat, perkembangan dan persefahaman mereka (pemain) dalam latihan serta kemahiran yang diterapkan menunjukkan respon dan tahap cukup baik.

“Walaupun saya tidak boleh katakan peratusan perkembangan yang mereka capai, namun apa yang pasti, perkembangan skuad saya mampu memberi saingan berkualiti dan tidak mustahil mencapai tiga mata pertama di laman sendiri esok (hari ini),” katanya mengulas persiapan Sabah FC II menghadapi kunjungan Kedah.

Alto diberi kepercayaan mengemudi Sabah FC II selepas pasukan berkenaan gagal mencipta sebarang kemenangan sejak bermula aksi Piala MFL musim ini menyebabkannya berada di tangga tercorot carta liga.

Beliau berkata, meskipun baru tiga minggu melatih dan membentuk mentaliti serta taktik formasi pemain, beliau tetap yakin terhadap kemampuan anak buahnya untuk memberi fokus dan komitmen terbaik terhadap perlawanan dalam liga Piala MFL bermula malam ini.

“Kali ni, kita juga membawa idea untuk memperbanyakkan perbincangan bersama pemain berhubung analisis video dan visual dalam sesi latihan mereka.

“Melalui perbincangan dan penelitian video ini dapat memberikan mereka gambaran jelas dan mengenal pasti kesilapan serta ruang yang boleh diperbaiki.

“Selain itu, mereka juga belajar memperbaiki kesilapan kecil mereka ketika sesi latihan, mengukuhkan kemahiran dan dapat menunjukkan permainan yang matang dan lebih bagus,” katanya.

Dalam pada itu, Alto berharap agar penyokong dan peminat dapat terus memberi sokongan kepada pasukan Sabah FC II.

“Kita tahu bukan senang untuk mencapai sesuatu, namun, kini, saya berada dalam pasukan ini dan memberi segala yang terbaik dengan berusaha untuk membentuk pasukan Sabah FC II ke satu tahap terbaik.

“Mungkin ia memerlukan waktu, namun selangkah demi selangkah, kami akan membentuk mereka menjadi pemain negeri yang cemerlang dan matang dalan permainan, lebih-lebih mereka adalah pelapis yang bakal bermain dalam pasukan senior,” katanya. – Info X