BELURAN: Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang ketika mencari pucuk nipah di muara sungai Kampung Air, di sini, ditemukan lemas, malam tadi.
Mangsa Damat Anggah, 80, ditemukan kira-kira 10 meter daripada perahunya pada jam 11.45 malam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, mangsa dikatakan dikatakan keluar menaiki perahu untuk mencari pucuk nipah kira-kira 1.5 kilometer ke lokasi dari Jeti Kampung Air.
Kira-kira jam 11 pagi, penduduk kampung yang melalui kawasan lokasi mangsa melaporkan kepada keluarganya bahawa mangsa tidak berada di atas perahu.
Susulan itu, pada jam 3 petang, anak mangsa pergi membuat pemantauan bersama seorang rakannya dan hanya menemukan topi milik bapanya berdekatan dengan perahu mangsa.
Pencarian kemudian dilakukan oleh orang kampung sebelum membuat panggilan kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 5.51 petang.
“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setiba di lokasi, operasi pencarian dijalankan berhampiran bot mangsa di tepi sungai dengan kaedah surface water rescue menggunakan bot orang kampung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira 10 meter daripada perahunya oleh APMM pada hari pertama SAR dijalankan.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan setelah tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 1 pagi,” katanya. – Info X