KOTA KINABALU: Istilah ‘Anak Negeri Sabah’ dicadang digunakan dalam dokumen rasmi kerajaan bagi mewakili semua etnik orang asal di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang menyuarakan perkara itu, berkata ia penting bagi menggantikan istilah ‘lain-lain’ yang masih digunakan ketika ini.
Beliau berkata, istilah ‘lain-lain’ bukan saja tidak memadai, malah seolah-olah tidak menghormati kewujudan etnik anak negeri di Sabah.
“Ia gagal menangkap kekayaan kepelbagaian dan sumbangan komuniti orang asal Sabah, sekali gus merendahkan kedudukan hak mereka dalam naratif sejarah dan budaya Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, istilah ‘Momogun’ dan ‘Kadazandusun’ yang sering digunakan ketika ini juga tidak cukup untuk merangkumkan semua etnik orang asal di negeri ini.
Katanya, istilah itu lebih merujuk kepada kumpulan etnik Dusun, Murut dan Paitan, tidak mewakili orang asal lain yang signifikan seperti Bajau, Bisaya, Kedayan, Irranun dan banyak lagi.
“Ketidakrangkuman ini berisiko untuk meminggirkan kumpulan ini ini, menyebabkan mereka merasa diabaikan dan dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan berterusan istilah ‘lain-lain’ juga adalah satu penghinaan terhadap maruah orang asal Sabah.
Katanya, penggunaan istilah itu juga seolah-olah melunturkan kepelbagaian dan kekayaan budaya kepada hanya satu pemikiran, mengkategorikan orang asal sebagai ‘lain-lain’ di tanah kelahiran mereka.
“Ini tidak boleh diterima, kita rakyat Sabah adalah bukan ‘lain-lain’, sebaliknya kita adalah sebahagian daripada Malaysia, menyumbang kepada kekayaab susunan budaya dan kemajuannya sebagai sebuah negara.
“Atas sebab itu saya dengan tegas menyokong penggunaan ‘Anak Negeri Sabah’. Istilah ini bukan saja menyeluruh, malah berasaskan undang-undang.
“Ia ditakrifkan dalam Perkara 151A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 41(10) Perlembagaan Negeri.
“Ia selaras dengan Ordinan Tafsiran (Takrif Anak Negeri) Sabah, menyediakan asas undang-undang dan kaedah yang menghormati kewujudan semua orang asal Sabah,” katanya.
Jeffrey berkata penggunaan ‘Anak Negeri Sabah’ bukan hanya berkaitan istilah, sebaliknya ia hal penghormatan, pengiktirafan dan perpaduan.
Katanya, ia adalah satu langkah ke arah memastikan bahawa setiap komuniti orang asal di Sabah merasai dipandang dan dihargai.
“Perubahan ini penting ke arah Sabah yang lebih bersatu, di mana semua orang asal diiktiraf sebagai bahagian yang sama dan penting dalam identiti dan masa depan negeri.
“Kita menggesa semua agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat Sabah untuk menyokong perubahan yang perlu ini.
“Marilah kita bersama-sama menghormati kepelbagaian dan kekayaan sebenar orang asal negeri kita.
“Sudah tiba masanya untuk bergerak melangkaui klasifikasi yang lapuk dan tidak menghormati serta menggunakan bahasa yang benar-benar mencerminkan identiti dan nilai kita.
“Penerimaan ‘Anak Negeri Sabah’ adalah langkah penting ke arah matlamat ini,” katanya. – Info X