SANDAKAN: Seorang pemandu maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar pokok berhampiran perabot Chan, Batu 3, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 26 tahun yang parah dikeluarkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kementerian kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 pagi.
Susulan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan operasi yang tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max melanggar sebatang pokok.
“Terdapat seorang mangsa terbabit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas (rescue tools),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 4.20 pagi,” katanya. – Info X