Search

Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia – Ketua Menteri

August 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengulangi pendiriannya berhubung kedudukan negeri ini yang akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa juga mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada negara ini.

Beliau menegaskan, kedudukan itu kekal sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas negeri ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan pendirian Malaysia yang sama dengan pendirian kami selama ini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hajiji berkata rakyat Sabah sudah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Berikutan itu, katanya sebarang tuntutan pihak luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat negeri ini.

Jelasnya, kerajaan negeri juga menyokong penuh tindakan dan kenyataan Wisma Putra bahawa isi kandungan video tular di media sosial yang mempertikaikan kedaulatan Sabah adalah tidak berasas dan mengelirukan.

“Kami yakin Kementerian Luar akan dapat menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan,” katanya. – Info X