Search

BCNS tanda pengiktirafan kerajaan terhadap kecemerlangan pelajar

August 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penganugerahan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) adalah satu pengiktirafan berprestij kerajaan negeri terhadap kecemerlangan pelajar negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata anugerah berkenaan sangat istimewa dan ia diharap dapat menjadi pendorong kepada pelajar untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

Katanya, penganugerahan BCNS juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah ingin melihat lebih ramai modal insan yang mampu bersaing di persada global.

“Kumpulan Yayasan Sabah telah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang ini sejak 1990. Sehingga kini, seramai 755 pelajar menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM132.6 juta dibelanjakan sejak program ini dilaksanakan.

“Secara keseluruhannya, sejak 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.

“Pada hari ini, seramai 88 pelajar menerima biasiswa kerajaan negeri iaitu Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah dan Anugerah MUIS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelaksanaan Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang bermula sejak 2022 adalah selaras dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mana biasiswa itu diberikan untuk meningkatkan taraf akademik anak-anak Sabah.

Hajiji bersama penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di SICC.

“Sejak 2022 hingga 2023, seramai 20 orang pelajar menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM1.04 juta telah dibelanjakan. Sementara itu, Anugerah MUIS yang bermula sejak 2020 telah memberi manfaat kepada 50 pelajar sehingga tahun lalu,” katanya.

Hajiji berkata, pada tahun lalu kerajaan negeri menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta kepada RM101 juta, dengan seramai 7,304 pelajar menerima penajaan bagi meneruskan pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong dan komited dalam memperkasa pembangunan modal insan di negeri ini menerusi pelbagai pembiayaan pendidikan, antaranya tajaan biasiswa, bantuan pendidikan, sumbangan zakat dan pinjaman pendidikan.

“Selain membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa, pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan juga adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada arus pendidikan sekali gus dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.

“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri ini,” katanya. – Info X