TAWAU: Teka teki kehilangan basikal di sekitar taman perumahan di daerah ini akhirnya terjawab apabila polis menahan dua lelaki dan merampas empat basikal pelbagai jenama.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 51 tahun ditahan sepasukan polis dari Strike Team Balai Polis Tawau di dua lokasi berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian pasukan polis menjalankan tugas Op Kesan di sekitar kawasan Taman Ria 7, di sini.
Katanya, ketika rondaan, pasukan operasi terlihat seorang lelaki yang dikenal pasti terbabit dengan kes jenayah curi dalam keadaan mencurigakan berada di hadapan rumahnya.

“Ketika polis mendekati, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya ditahan. Pemeriksaan turut menemui dua peket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.03 gram di poket seluar suspek.
“Susulan daripada tangkapan itu, polis turut menahan seorang lagu lelaki warga tempatan di Kampung Tanjung Batu Darat, kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi turut menemukan sebuah lagi basikal berjenama yang diubah suai disembunyikan di belakang rumah suspek.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek, polis turut menemui dua peket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.09 gran di poket seluar suspek.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu dan masing-masing memiliki rekod jenayah lampau berkait jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X