KOTA KINABALU: Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 yang dijadualkan pada 2 hingga 4 September depan ditunda ke 19 hingga 20 Oktober 2024.
Perubahan tarikh itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) selaku penganjur persidangan berkenaan.
Berdasarkan kenyataan itu, SIBEC 2024 dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober.
Antara pengisian SIBEC 2024 ialah ‘investor insight’, sidang plenary, forum interaktif dan sesi khas ‘ambassador talks’ membabitkan Duta dan Pesuruhjaya Tinggi negara asing.
“Ia bertujuan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kejayaan berasaskan ekonomi biru di negara masing-masing.
“Seramai 29 speaker dan panel forum dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada pemain industri, pengamal ekonomi biru dan ahli akademik terlibat pada SIBEC 2024,” kata kenyataan itu.
SIBEC 2024 dijangka dihadiri kira-kira 2,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Sempena persidangan itu, beberapa pavilion atau ruang pameran turut disediakan bagi mempamerkan inisiatif, teknologi terkini dan inovasi setiap sektor atau komponen Ekonomi Biru dari dalam serta luar negara.
Maklumat lanjut mengenai SIBEC 2024 boleh diperolehi melalui portal https://blueeconomy.sabah.gov.my/ / SIBEC 2024. – Info X