Search

NDRC UMS mahu kukuhkan kerjasama urus bencana dengan kerajaan negeri

August 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu mengukuhkan lagi kerjasama dengan kerajaan negeri dalam aspek pengurusan bencana di Sabah.

Pengarah NDRC, Prof Madya Dr Carolyn M Payus, berkata kerjasama itu tertumpu dalam hal berkaitan perkongsian maklumat, penyelidikan dan perkhidmatan bagi membantu agensi kerajaan negeri dalam mengurus dan menangani bencana alam.

“Melalui kerjasama berterusan ini, NDRC mampu memainkan peranan sebagai titik pertemuan untuk semua keperluan berkaitan pengurusan bencana alam di negeri ini.

“Ini termasuk penyelidikan, perkhidmatan kepakaran dan perundingan yang berkaitan dengan bencana alam, sama ada di dalam negeri atau luar Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat NDRC UMS terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, baru-baru ini.

Delegasi NDRC UMS melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri.

Delegasi NDRC UMS turut disertai Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai, Prof Madya Dr Ejria Saleh; Ketua Kluster Gempa Bumi, Dr Noor Sheena Herayani Harith; Ketua Kluster Banjir, Dr Janice Lynn Ayog dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Hadir sama ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Ag Shaminan Ag Sahari dan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Effendi Mohamed Sunoh.

Ketika kunjungan itu, Carolyn berkata, pihaknya berkongsi mengenai fungsi, peranan dan beberapa penyelidikan yang dilakukan NDRC, antaranya kajian gempa bumi, banjir dan hakisan pantai.

Turut dikongsikan kepada Ketua Menteri, katanya ialah Pangkalan Data Bencana Alam yang dibangunkan NDRC sebagai panduan untuk berdepan situasi bencana di negeri ini.

“Beberapa isu kritikal turut dibincangkan seperti bencana alam yang sedang berlaku di Sabah pada masa kini dan cadangan kerjasama dalam pengurusan bencana yang lebih berpusat serta bersepadu di antara kerajaan negeri dan NDRC, khususnya dari pihak akademia dalam usaha untuk mengurangkan impak bencana.

“Pertemuan ini juga mendapat maklum balas positif daripada Ketua Menteri sendiri yang menyambut baik usaha yang dijalankan NDRC UMS terutamanya dalam penyelidikan dan pengurusan bencana negara,” katanya.

Beliau menambah, Ketua Menteri turut menyatakan harapan agar NDRC dapat bekerjasama dengan pengurusan bencana negeri melalui penglibatan dalam Disaster Command Centre yang akan diwujudkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Carolyn memberi penerangan mengenai penyelidikan yang dijalankan NDRC kepada Ketua Menteri.

“Ini termasuk menyumbang khidmat kepakaran yang berkaitan dengan pengurusan bencana, seperti Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di bawah Jabatan Ketua Menteri.

“Ketua Menteri turut menghargai sumbangan kepakaran penyelidik dari institusi akademik seperti NDRC UMS yang dilihat amat penting sebagai input dalam membantu membuat keputusan dalam aspek pembangunan yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan pengurusan bencana yang berlaku di peringkat negeri,” ujar beliau. – Info X