Search

Isu 40 peratus: Peruntukan untuk Sabah tidak boleh disamakan dengan negeri lain – Ronald Kiandee

August 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah tidak boleh disamakan dengan pemberian wajib biasa kepada negeri lain, kecuali Sarawak, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah itu berkata bagi Sabah, selain peruntukan pembangunan, Kerajaan Persekutuan juga perlu membayar pemberian wajib 40 peratus kepada negeri ini seperti termaktub dalam perlembagaan.

Katanya, tanggungjawab Kerajaan Persekutuan itu terkandung dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan selain perlu dikaji setiap lima tahun mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, namun gagal dilaksanakan.

Berikutan itu, katanya penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai peruntukan RM16 bilion diberikan kepada Sabah yang sebenarnya adalah peruntukan keseluruhan kepada Sabah, menunjukkan Anwar terlepas pandang mengenai pemberian wajib 40 peratus.

“Jadi kenyataan YAB Perdana Menteri sebenarnya terlepas pandang bahawa jumlah peruntukan ‘development expenditure’ kepada Sabah tidak boleh disamakan dengan pemberian wajib biasa kepada negeri-negeri lain (selain Sarawak).

“Nilai RM16 Bilion tersebut seharusnya diberikan kepada Sabah namun pemberian wajib 40% di bawah Perkara 112C masih tetap dan perlu diberikan kepada Sabah selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri baru-baru ini, katanya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM16 billion kepada Sabah yang mana nilai itu adalah jumlah keseluruhan peruntukan kepada Sabah dan bukan hanya untuk pembangunan sahaja (development expenditure).

Ronald berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyatakan bahawa peruntukan RM16 bilion itu termasuk peruntukan sekolah, pendidikan untuk anak-anak serta penjagaan sempadan yang mana dalam hal itu sememangnya tanggungjawab Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan YAB Perdana Menteri sebenarnya tidak menjawab kepada isu yang perlu dijawab iaitu pemberian wajib 40% di bawah Perkara 112C Perlembagaan.

“Secara mudahnya, setiap negeri dalam Persekutuan perlu menerima hak wajib peruntukan kewangan di bawah Perkara 109, manakala bagi Sabah dan Sarawak terdapat peruntukan wajib tambahan iaitu di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Naib Presiden BERSATU itu berkata, Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan menyatakan antara lainnya pemberian wajib Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri.

Pertama, katanya ialah Geran Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pemberian Bilangan Orang 2002.

“Kedua ialah Geran Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) di bawah Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Manakala ketiga ialah Geran Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup di bawah Perkara 109(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selanjutnya, beliau berkata pemberian peruntukan kewangan di bawah Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan itu perlu mematuhi kehendak di bawah Bahagian I, II dan III Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi Sabah, selain peruntukan wajib dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan, perlu diberikan peruntukan wajib 40 % seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C di Bahagian IV dan V Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan yang mana peruntukan tersebut perlu dikaji semula setiap lima tahun di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan tetapi gagal dilaksanakan Persekutuan setakat ini,” katanya.

Oleh itu, jelasnya, Kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu sentiasa menjunjung serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin suatu Persekutuan yang terus adil, bermanfaat bersama di samping menjaga kepentingan negara Malaysia. – Info X