Search

Lelaki dikehendaki polis, empat rekod jenayah lampau diberkas

August 8, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis atas kesalahan mencuri pelbagai jenis tudung di sebuah kedai butik berjaya diberkas di Batu 2, Jalan Apas, pagi tadi.

Suspek warga tempatan berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 8.30 pagi selepas mendapat maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan sebanyak 40 helai tudung di sebuah butik di kawasan Sabindo, Isnin lalu.

Katanya, mangsa yang merupakan usahawan tudung berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM600 akibat kecurian oleh lelaki tidak dikenali.

“Susulan itu, polis telah mengeluarkan siaran media mengenai orang dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan selepas memeriksa rakaman litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis segera menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Batu 2, Jalan Apas dan berjaya memberkas seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai empat kesalahan lampau iaitu dua kes berkaitan jenayah dan dua lagi melibatkan dadah serta merupakan orang dikehendaki polis.

“Siasatan masih dijalankan dalam usaha mendapatkan semula barang yang dicuri dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan,” katanya. – Info X