TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipercayai berperanan sebagai transporter bagi sindiket dadah di daerah ini berjaya ditahan di hadapan sebuah pondok hentian bas, Batu 15 Jalan Apas, di sini semalam.
Suspek berusia 52 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI), kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di lokasi berkenaan.
Katanya, sepasukan polis segera menjalankan siasatan dan pemantauan di sekitar lokasi berkenaan bagi memberkas suspek.
“Ketika operasi dijalankan, terdapat seorang lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan berhampiran sebuah pondok bas.
“Pasukan polis bertindak menjalankan pemeriksaan dokumentasi dan barang yang dibawa lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal menemukan tiga paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 13.46 gram dianggarkan bernilai RM1,100.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jasmin berkata, polis sedang giat mengesan rangkaian pengedaran dadah dan tidak akan berkompromi dengan individu atau kumpulan yang melakukan jenayah di daerah ini.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan dadah.
“Justeru, masyarakat diminta supaya terus menyalurkan maklumat bagi bersama-sama membanteras kegiatan jenayah dan dadah di daerah ini,” katanya. – Info X