KOTA KINABALU: Sabah Smart Parking akan dilaksanakan sepenuhnya di bandar raya ini bagi memudahkan orang ramai membayar caj letak kereta secara digital bermula 16 Oktober depan.
Sistem baharu menggunakan aplikasi yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar itu akan menggantikan kupon letak kereta yang digunakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ketika ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata bermula 16 Oktober nanti tiada lagi sistem pembayaran caj letak kereta secara fizikal selaras usaha DBKK ke arah pendigitalan perkhidmatan.
Katanya, mulai tarikh itu, kupon letak kereta yang digunakan sejak kira-kira 10 tahun lalu akan dimansuhkan dan orang ramai perlu memuat naik aplikasi Sabah Smart Parking untuk membayar caj letak kereta.
“DBKK akan mewujudkan sistem aplikasi pintar untuk tempat letak kereta di bandar raya Kota Kinabalu bagi menggantikan sistem letak kereta berkupon yang digunakan sejak 10 tahun lalu.
“Aplikasi yang dikenali sebagai ‘Sabah Smart Parking’ itu akan dilaksanakan berkuatkuasa pada 16 Oktober depan,” katanya pada majlis pra pelancaran sistem baharu itu, di sini, semalam.
Jelasnya, aplikasi pintar itu yang selaras dengan langkah pendigitalan pengurusan dan perkhidmatan DBKK menyahut aspirasi kerajaan negeri menuju ke arah pembudayaan dan pembangunan pendigitalan dalam setiap perkhidmatan.
Katanya, aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ itu asalah bukti komitmen berterusan DBKK dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memudahkan urusan orang ramai yang menggunakan tempat letak kereta awam di bandar raya ini.
“Permintaan masyarakat bandar raya untuk mewujudkan aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ ini juga mendorong DBKK untuk melaksanakan sistem baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Sabin berkata, pemilihan nama ‘Sabah Smart Parking’ mengambil kira bandar raya Kota Kinabalu sebagai ibu negeri dan pusat pentadbiran Sabah.
Katanya, aplikasi itu yang diurus DBKK Holdings akan digunakan di semua tempat letak kereta awam yang berada di bawah bidang kuasa DBKK.
“Aplikasi ini menampilkan geolokasi telefon pintar untuk membantu pengguna membuat pembayaran kadar caj letak kereta di sesebuah kawasan.
“Di samping itu, ia turut menyediakan perkhidmatan lain seperti semakan tunggakan kompaun, pembelian pas parkir bulanan dan lain-lain,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Sabin memberi jaminan pengguna yang masih mempunyai kupon fizikal sah laku, boleh menghabiskan kupon mereka sebelum beralih kepada aplikasi Sabah Smart Parking.
Ends
Pix – Sabin (tengah) pada sidang media selepas pra pelancaran Sabah Smart Parking.
Pix – Sistem letak kereta menggunakan kupon akan diganti dengan aplikasi digital Sabah Smart Parking mulai 16 Oktober 2024.