Search

Polis tahan pengedar, rampas syabu bernilai RM63,190

August 10, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang pengedar dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM63,190 dalam serbuan di sekitar bandar ini, pada Rabu lalu.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 48 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Operasi itu turut disertai polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Kunak.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika berada di lokasi serbuan, pasukan polis terlihat sebuah kenderaan yang berhenti di kawasan parkir.

“Kelihatan seorang lelaki (suspek) keluar dari kenderaan berkenaan dengan memakai beg silang. Pasukan serbuan menghampiri dan menahan suspek terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dipakai, polis menemui satu beg plastik warna hitam dan pemeriksaan lanjut terdapat satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 930.00 gram bernilai RM63,190,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang terbabit dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X