Search

Lelaki berdepan hukuman mati miliki 55.02 gram syabu

August 10, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas ditahan bersama 55.02 gram dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Taman Semarak, di sini, Khamis lalu.

lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasukan serbuan menahan suspek ketika itu berada di ruang tamu rumah berkenaan lalu menyerahkan satu peket plastik lutsinar.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam peket plastik itu menemui sembilan peket plastik lutsinar berlainan saiz.

“Setiap satu peket berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, anggaran berat kasar 55.02 gram bernilai RM3,310.

“Saringan awal ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Tetra Hydrocannibol (THC),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut termasuk usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah.

Pasukan serbuan menahan suspek dan merampas 55.02 gram syabu di sebuah rumah di Taman Semarak, Tawau. – Foto/PDRM

“Selain itu juga polis sedang giat mengesan individu lain yang disyaki terbabit dengan kes berkenaan.

“Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, orang ramai disaran menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah dan dadah termasuk di kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang. – Info X