Search

Dua lelaki mangsa bot berlanggar ditemukan lemas

August 10, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah lagi bot ditemukan lemas di perairan laut Bohey Dulang, di sini petang tadi.

Mayat kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu ditemukan terapung oleh pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), VAT69 Komando yang sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Fauzi Abd Kadir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 1.15 petang.

Katanya, kedua-dua mayat terbabit dibawa ke daratan, sebelum dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mayat yang ditemukan itu adalah mangsa yang hilang akibat pelanggaran dua bot pada Selasa lalu di perairan Pulau Sebangkat, Semporna.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 280/304A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fauzi menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak berkongsi isu-isu yang belum sahih di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran orang ramai,” katanya.

Terdahulu, dua lelaki warga asing hilang, seorang parah dan seorang lagi selamat selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sebangkat, di sini, Selasa lalu.

Berdasarkan maklumat, bot yang dinaiki semua mangsa terbabit dikatakan keluar ke laut pada jam 5 petang Isnin lalu.

Bagaimanapun, bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan, namun individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri. – Info X