Search

UPKO bertekad terus proaktif ke arah Persekutuan Malaysia yang lebih baik

August 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertekad untuk terus mencetus pelbagai usaha dan inisiatif proaktif ke arah menjadikan Persekutuan Malaysia yang lebih baik.

Tekad itu diluahkan Presidennya, Datuk Ewon Benedick sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan parti berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Dalam ucapan perutusannya sempena sambutan berkenaan, beliau berkata UPKO harus tampil bijaksana dalam dinamik politik negara dengan mengutamakan kepedulian rakyat.

“UPKO mesti terus mencetuskan pelbagai usaha dan inisiatif yang proaktif serta progresif untuk menjadikan persekutuan ini lebih baik.

“Di sebalik kepelbagaian, kita pastinya lebih kuat jika bersatu. UPKO harus tampil bijaksana dalam dinamik politik negara dengan mengutamakan kepedulian terhadap rakyat sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sambutan ulang tahun UPKO itu turut dihadiri dua bekas presiden dan pengasas parti berkenaan, iaitu Tan Sri Bernard Dompok dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau.

Pemimpin dan perwakilan UPKO mendengar ucapan Ewon sempena sambutan ulang tahun ke-30 UPKO di SICC.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berkata UPKO juga mesti terus mencetuskan kisah kejayaan yang boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada rakyat.

“Semua ini pastinya boleh dilaksanakan jika semua kita tampil berkepemimpinan bermula daripada rumah dengan pendekatan ‘common sense leadership,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keupayaan UPKO menjangkau usia 30 tahun membuktikan kemapanan dan kelestarian perjuangannya dalam memimpin rakyat dan negara.

Katanya, sepanjang tempoh itu, UPKO mencetus pencapaian dan sumbangan tersendiri kepada tadbir urus negara serta pembangunan rakyat.

“Sepertimana dalam perlembagaan UPKO, perjuangan kita digagaskan kepada MA63 dan hak-hak rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai aspek pembangunan yang harus menjadi asas kepada kepemimpinan, perkhidmatan dan pelayanan parti kita,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata atas sebab itu, beliau memberi fokus tambahan kepada pembangunan keusahawanan dan pendidikan bagi membangunkan rakyat.

Katanya, usaha itu dilakukan melalui gerakan ‘whole-team approach’ berdasarkan posisi kepemimpinan UPKO dalam kerajaan.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong parti itu supaya terus teguh bersama parti dan sama-sama mengembangkan UPKO, hingga mampu menyambut ulang tahun ke-60 dalam tempoh 30 tahun akan datang, disusuli ulang tahun ke-100 dan seterusnya. – Info X