Search

Liga Super: Sabah berdepan cabaran getir tanpa empat tonggak berdepan Selangor

August 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC berdepan cabaran getir tanpa empat tonggak utama untuk melayan kunjungan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Empat pemain terbabit ialah kapten pasukan, Park Taesu, Gabriel Peres, Stuart John Wilkin dan Miguel Cifuentes atau Cifu.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata pemain terbabit masih berada dalam senarai kecederaan.

Ketiadaan empat tonggak itu pasti memberi cabaran getir kepada skuad Sang Badak, lebih-lebih lagi Selangor ketika ini dalam persiapan ke perlawanan akhir Piala FA.

Kim Swee menjangkakan Selangor akan memanfaatkan aksi malam esok untuk mendapatkan keputusan positif sebagai bekalan ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

“Sudah tentu Selangor FC akan memanfaatkan pertemuan ini untuk mencatat keputusan positif sebagai motivasi penting sebelum beraksi pada perlawanan akhir Piala FA nanti.

“Kita tahu Selangor mendapat kemenangan ketika beraksi di luar sebelum ini dan layak ke final Piala FA, sudah pasti ia akan memberi satu cabaran yang cukup sengit beraksi di Kota Kinabalu esok,” katanya.

Kim Swee berkata, bagi Sabah FC, kemenangan menentang Sri Pahang FC di Temerloh, Pahang pada Jumaat lalu dijadikan sandaran positif untuk meneruskan perlawanan menentang Selangor.

Jelasnya, walaupun berdepan ketiadaan pemain penting akibat kecederaan, pasukan bimbingannya tetap bersiap sedia memberikan tentangan hebat terhadap Selangor malam esok.

“Sabah FC tidak akan memandang rendah keupayaan pasukan lawan tetapi kita akan memastikan semua pemain bersiap sedia pada perlawanan esok.

“Kita tahu berdasarkan rekod, Sabah FC mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri berikutan sokongan padu daripada penyokong,” katanya.

Apa yang penting, Kim Swee berkata semua pemain perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal serta memberikan komitmen padu untuk mencapai keputusan positif malam esok. – Info X