Search

Lelaki memandu bawah pengaruh dadah langgar enam kenderaan

August 13, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah merempuh enam kenderaan hingga mengakibatkan seorang cedera dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.15 petang.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari merempuh enam kenderaan lain termasuk sebuah motosikal.

“Ketika kejadian, suspek lelaki berusia 32 tahun memandu kereta dari arah Jalan Apas menuju ke bandar Tawau.

“Namun sebaik menghampiri sebuah mini market di Batu 3, Jalan Apas, suspek memandu secara melulu dan merempuh enam buah kenderaan termasuk motosikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, dalam kemalangan itu, seorang penunggang motosikal cedera di kedua belah tangan dan lututnya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek memandu kenderaan ketika itu dalam keadaan dipengaruhi dadah.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X