Search

Sabah tuan rumah Hari Malaysia 2024

August 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini yang akan berlangsung, di sini, pada 16 September depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata sambutan itu diselang seli di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau yang juga pengerusi bersama sambutan itu, berkata jawatankuasa penganjur kini giat menyusun program sambutan melalui beberapa mesyuarat berhubung perkara itu.

“Di peringkat negeri, beberapa mesyuarat penyelarasan diadakan seperti di peringkat jawatankuasa utama dan jawatankuasa kerja bagi memastikan sambutan tahun ini berjalan lancar.

“Secara keseluruhan sebanyak 14 jawatankuasa kerja terbabit dalam persiapan sambutan Hari Malaysia kali ini,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Utama Sambutan Hari Malaysia 2024 di SICC, semalam.

Beliau mempengerusikan mesyuarat itu bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi (dua kiri) menunjukkan corak batik yang dijadikan pakaian rasmi sambutan Hari Malaysia 2024.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Md Isa dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Josie Lai.

Christina berkata, mesyuarat semalam adalah kesinambungan Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Malaysia 2024 yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri pada 5 Ogos lalu.

“Saya berharap melalui mesyuarat hari ini, kita akan dapat bekerja bersama untuk memastikan kejayaan pelaksanaan sambutan Hari Malaysia 2024.

“Dengan kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan semua pihak, saya yakin sambutan Hari Malaysia tahun ini berjalan dengan lancar,” katanya. – Info X