Search

3 rumah, 6 kenderaan musnah terbakar

August 13, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Linsuk, Sook, di sini, hari ini.

Kejadian itu turut memusnahkan lima kereta dan sebuah motosikal.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.35 pagi.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran.

“Operasi terkawal pada jam 12.40 tengah hari dan tiga rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran ini,” katanya di sini, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di Kampung Linsuk, Sook, Keningau. – Foto/Bomba

Menurutnya, empat kereta termasuk Isuzu Invader, Proton LMST, Proton Saga dan motosikal jenis Demak terbakar sepenuhnya manakala Toyota Land Cruiser Ninja dan Perodua Viva terbakar 20 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah keseluruhan kejadian masih dalam siasatan.

Kenderaan yang musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Linsuk, Sook, Keningau. – Foto/Bomba

“Sebaik memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi di tamatkan pada jam 1.20 petang,” katanya. – Info X