KOTA KINABALU: Sabah FC menerima hukuman akibat hilang fokus menyebabkan kekalahan 2-1 di tangan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee mengakui faktor itu antara punca kegagalan pasukannya untuk mendapat sekurang-kurangnya satu mata ketika bermain di laman sendiri.
Beliau turut mengakui pemain Sabah FC berdepan kesukaran menghadapi Selangor kerana kedudukan pasukan itu yang mempunyai pemain berkualiti.

“Kita dihukum dengan kesilapan kita sendiri dan seperti kita tahu, Selangor mempunyai pemain berkualiti dan ini menyukarkan kita, terutama apabila beberapa pemain yang ditukar tidak dapat menjalankan tugas dengan begitu baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Beliau berkata, apa yang berlaku malam tadi akan dijadikan pengajaran buat pasukan bimbingannya bagi mengelak perkara sama daripada berulang pada perlawanan seterusnya.
“Ini satu pengajaran buat semua pemain, di mana kita tidak boleh hilang fokus terutama pada minit terakhir yang mana kita dibolosi melalui sepakan sudut,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, Sabah mendapat gol pendahuluan pada minit ke-27 akibat kesilapan kapten Selangor, Muhammad Safuwan Baharuddin yang tersepak bola ke arah gawang.

Kesilapan itu berlaku ketika beliau dan penjaga gol, Samuel Jacob Somerville cuba menghalang penyerang Sabah, Darren Lok daripada menerima hantaran berbahaya Mohd Firdaus Jafri Chew di hadapan gawang.
Kedudukan itu bagaimanapun dapat disamakan penyerang Selangor, Ronnie Allan Fernandez menerusi jaringannya pada minit ke-31 akibat kesilapan hantaran pertahanan Sabah di hadapan gawang sendiri.
Kemudiannya, pada babak kedua, Harith Haiqal Adam Afkar memberi gol kemenangan buat Selangor selepas menyepak masuk bola yang terlepas dari dakapan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-85. – Info X