Search

Gaji penjawat awam naik 7-15 peratus mulai Disember

August 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam persekutuan dengan kenaikan 15 peratus bagi kumpulan pelaksana dan tujuh peratus bagi pengurusan tertinggi.

Pelarasan itu susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember depan membabitkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam persekutuan.

Kali terakhir semakan gaji penjawat awam ialah pada 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar bagaimanapun, menjelaskan pelarasan itu dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini, manakala fasa seterusnya bermula pada 1 Januari 2026.

Jelasnya, kerajaan terpaksa melaksanakan pelarasan itu secara berperingkat disebabkan kekangan dan untuk mengelakkan tekanan inflasi.

“Pelarasan gaji bagi pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional adalah sebanyak lapan peratus pada pertama dan tujuh peratus pada fasa kedua.

“Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, kadar kenaikan adalah sebanyak empat peratus bagi fasa pertama dan tiga peratus pada fasa kedua,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19, di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.

Gaji penjawat awam naik tujuh dan 15 peratus di bawah SSPA.

“Sebagai contoh, seorang guru yang berkhidmat selama lima tahun dengan pendapatan bulanan RM3,838 akan menerima pelarasan gaji sebanyak lapan peratus pada fasa pertama, menjadikan pendapatan bulanannya kepada RM4,085.04.

“Bagi fasa kedua pada Januari 2026 pula, guru akan menerima pelarasan tambahan sebanyak tujuh peratus, menjadikan pendapatan bulanan mereka kepada RM4,559.24,” katanya.

Bagi seorang pegawai polis gred YA1 dengan pendapatan bulanan RM2,256, katanya akan menerima pelarasan gaji sebanyak RM240, meningkat kepada RM2,496 manakala pada fasa kedua, pendapatannya akan meningkat kepada RM2,726.02.

Anwar berkata, kaedah dan formula untuk pengiraan pelarasan akan dijelaskan secara terperinci oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada sesi libat urus akan datang.

Selain, penjawat awam sedang berkhidmat, katanya penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

“Turut dipertimbangkan, pengorbanan dan bakti Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Jadi bagi veteran ATM tidak berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu dianggar mencecah lebih RM10 bilion setahun, namun jumlah sebenar akan diperincikan pada Belanjawan 2025. – Info X