KOTA KINABALU: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyuarakan kecaman terhadap penindasan agama membabitkan penganut Hindu di Bangladesh berikutan kekacauan yang tercetus di negara itu.
Pemerhati geopolitik masyarakat India di Malaysia berpendapat langkah itu perlu sejajar permintaan masyarakat dan pemimpin India di negara ini yang majoritinya penganut Hindu agar kerajaan menyuarakan perkara itu.
Menerusi satu kenyataan, seorang pemerhati geopolitik, D Ravindran, berkata pemimpin masyarakat India di negara ini meluahkan gesaan mereka agar Perdana Menteri berkata sesuatu berhubung penindasan terhadap penganut Hindu di Bangladesh, namun sehingga kini belum ada perkembangan.
Katanya, Anwar baru-baru ini ada bercakap dengan pemimpin sementara Bangladesh yang baru dilantik, Muhammad Yunus, namun tidak menyebut secara khusus penganiayaan terhadap penganut Hindu di negara itu, selain menekankan perlindungan hak semua warga Bangladesh, termasuk golongan minoriti.
“Rusuhan di Bangladesh baru-baru ini menyerlahkan laporan mengenai serangan besar terhadap masyarakat Hindu di sana. Dengan kecaman global yang semakin meningkat terhadap penganiayaan agama ini, beberapa pemimpin India di Malaysia mula menyeru Perdana Menteri dan gabungannya untuk menyuarakan kecaman.
“Ini diketuai oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, diikuti Presiden Parti Rakyat India Malaysia, SP Punithan dan seorang pemimpin DAP, Charles Santiago. Mereka membangkitkan kebimbangan yang sama dan menyeru Anwar menonjolkan nasib minoriti Hindu di platform global,” katanya.
Sebaliknya, Ravindran berkata pemimpin pembangkang sudah tampil membuat kutukan terhadap penindasan yang dilakukan ke atas masyarakat Hindu di Bangladesh, antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Wan Ahmad Fayhsal, berkongsi di media sosialnya mengenai pendiriannya yang mengutuk dengan keras penindasan terhadap masyarakat Hindu di Bangladesh.
Jelasnya, pemimpin sekutu parti Islam, PAS, itu menegaskan bahawa orang Islam berkewajipan mematuhi perintah Al-Quran dan Nabi bahawa orang bukan Islam yang hidup di bawah pemerintahan majoriti Islam tidak boleh dinafikan hak asasi dan kebebasan beragama mereka.
“Beliau (Wan Ahmad Fayhsal) seterusnya menekankan supaya masyarakat Islam tidak terpedaya dengan hawa nafsu dan keghairahan mereka untuk melakukan ketidakadilan terhadap orang bukan Islam atas nama Islam.
“Ini adalah seruan penting yang bergema bukan saja masyarakat India Malaysia yang majoritinya beragama Hindu tetapi juga semua rakyat Malaysia secara amnya,” katanya.
Jelasnya, perkara itu penting memandangkan Perdana Menteri bakal mengadakan pertemuan dua hala rasmi dengan rakan sejawatannya dari India, Perdana Menteri Modi.
“Adakah kebimbangan dan rayuan dua juta orang India Malaysia, yang menjadi diaspora penting akan disuarakan dalam platform dua hala dengan India ini?
“Dan yang lebih penting, adakah keperluan diaspora ini akan dibincangkan secara substantif untuk membangunkan pelan tindakan ekonomi yang komprehensif untuk meningkatkan lagi hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara? Jelas sekali masyarakat ini memerlukan suara yang bergema di pentas global,” katanya.
Perkara berkenaan, katanya perlu disuarakan kerajaan memandangkan Malaysia menempatkan lebih dua juta penduduk asal India, menjadikan negara ini mempunyai diaspora India ketiga terbesar selepas Amerika Syarikat dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Dua juta masyarakat India yang majoritinya beragama Hindu itu mewakili antara enam hingga tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia ketika ini. – Info X