KOTA KINABALU: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa penggantungan segera semua operasi dan aktiviti pengusiran terhadap masyarakat Bajau Laut yang berlaku di Semporna.
Menerusi satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata pengusiran yang dilakukan tanpa sesi dialog atau penglibatan yang sewajarnya daripada komuniti yang terbabit menjejaskan hak asasi manusia terhadap hak perumahan yang mencukupi, mengganggu sumber mata pencarian dan menafikan hak untuk membuat keputusan dalam kehidupan mereka.
Sejajar dengan gesaan itu, SUHAKAM dalam kenyataan berkenaan menyokong penubuhan jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil masyarakat, pegawai kerajaan dan pihak berkepentingan.
“Jawatankuasa ini harus dipertanggungjawabkan untuk merangka penyelesaian jangka panjang yang adil dan mampan serta menghormati hak dan mata pencarian masyarakat yang terjejas di samping memperkasa keperluan lain dengan lebih meluas.
“Jawatankuasa ini perlu ditubuhkan dengan segera dan SUHAKAM sentiasa bersedia untuk terlibat secara aktif dalam usaha ini.
“SUHAKAM kekal komited untuk menyokong resolusi yang bukan saja menegakkan hak asasi manusia Bajau Laut dan komuniti lain yang terjejas di Malaysia tetapi juga memastikan bahawa tindakan masa hadapan di rantau ini harus berpandukan prinsip keadilan, penghormatan dan keterangkuman,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan berkenaan menyebut SUHAKAM menjalankan misi ke Semporna pada 17 dan 18 Julai lalu berikutan aktiviti pengusiran dan perobohan yang dijalankan pihak berkuasa pada Jun 2024.
Jelasnya, hasil dapatan SUHAKAM mendapati bahawa proses pengusiran dan penempatan semula dijalankan dengan cara yang tidak berperikemanusiaan dan tanpa proses rundingan yang mencukupi dengan masyarakat yang terjejas, khususnya kumpulan orang asal yang dikenali sebagai Bajau Laut.
“Orang Bajau Laut kebanyakannya tinggal di laut dan secara tradisinya mereka membina rumah di atas air. Budaya dan mata pencarian mereka sememangnya terikat dengan laut.
“Sebilangan besar orang Bajau Laut adalah buta huruf, tidak berpendidikan dan miskin, kerana gaya hidup pelaut mereka yang berpindah-randah.
“Mereka adalah masyarakat yang terpinggir dan tidak seharusnya dilayan sedemikian, sepertimana yang berlaku baru-baru ini,” kata kenyataan itu.
SUHAKAM berkata, pengusiran yang berterusan mendatangkan kesan yang teruk kepada masyarakat Bajau Laut seperti perpindahan keluar dari rumah mereka sendiri yang menjejaskan mata pencarian mereka.
Jelasnya, tindakan itu bukan saja mengabaikan suara mereka tetapi juga melanggar prinsip asas ketelusan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan hak orang asal.
“SUHAKAM mengingatkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bahawa Malaysia telah mengundi untuk menyokong Deklarasi Hak Orang Asli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) semasa Majlis Hak Asasi Manusia dan juga Perhimpunan Agung PBB tanpa reservasi.
“UNDRIP mengandungi peruntukan yang luas untuk pengiktirafan dan perlindungan wilayah dan sumber orang asli/asal.
“Walaupun UNDRIP adalah dokumen yang tidak terikat, namun Kerajaan Malaysia wajib untuk patuh kepada piawaian sepertimana yang ditetapkan dalam UNDRIP,” katanya. – Info X