KUDAT: Seorang pejalan kaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang juga pesakit mental parah dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 25, Jalan Kudat-Kota Kinabalu, depan simpang SMK Sikuati II, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa wanita dewasa patah tulang kaki kanan, tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Kudat.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan Proton Persona dipandu seorang wanita berusia 34 tahun dan pejalan kaki.
Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu kereta Proton Persona bersama seorang penumpang menuju ke Keningau.
“Setiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seorang wanita dewasa meluru melintas dari kiri ke kanan jalan, dan disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu Proton Persona berkenaan melanggar pejalan kaki itu.
“Pejalan kaki cedera di kaki dan tangan dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Haris berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa adalah pesakit mental dan OKU.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X