Oleh Vitalis Bingkasan
KUCHING: Selepas perasmian gilang-gemilang semalam, tumpuan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI kembali ke gelanggang pertandingan terutama yang menawarkan pingat hari ini.
Mengikut jadual, sebanyak 35 pingat emas ditawarkan hari ini dengan karate di senarai tertinggi, tawarkan lapan pingat emas diikuti taekwondo (enam), menembak (enam), golf (empat) , memanah (empat), masing-masing dua dari petanque, skuasy, tenpin boling dan satu dari gimnastik berirama.
Sehingga artikel ini ditulis, Sabah telah memenangi dua pingat emas, dua perak dan lima gangsa hari ini untuk keseluruhan tujuh emas, empat perak dan 13 gangsa.
Skuad karate penyumbang utama pingat hari ini dengan satu emas, dua perak dan tiga gangsa pada pertandingan yang berlangsung di Dewan IKBN Miri.
Pingat emas dimenangi pasukan kata wanita karate yang dianggotai Anneliese Anne Robberth, Audrey Adreana Baking dan Ivy Olivera Donny.
Mereka mencatat 39.30 mata untuk menagalahkan pasukan Pulau Pinang yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dari catatan 38.80 mata.
Ia adalah emas kedua skuad karate selepas emas pertama dimenangi Lovelly Anne Robberth dalam acara perseorangan wanita pada Sabtu.
Dua lagi karatekas bertarung di final kumite individu hari ini tetapi kedua-duanya tewas untuk hanya menyumbangkan pingat perak.
Anabel Mazlan tewas 0-7 ditangan Zakiah Adnan (Terengganu) kategori 67kg wanita manakala Prisca Easter Philip kalah 3-7 kepada P Jayashree (Johor) kategori 68kg wanita.
Tiga gangsa dimenangi Chin Xue Yi (kumite 68kg wanita), Muhammad Aiman Azlan (kumite 84kg lelaki) dan pasukan kata lelaki yang dianggotai Alvince Zurizal, Eddel Jerry Jamun dan Mohd Haikal Henry.
Skuad skuasy pula sumbang satu emas menerusi Yee Xin Ying dalam acara perseorangan wanita dan ia amat bermakna kerana merupakan emas skuasy pertama Sabah dalam sejarah penyertaannya di SUKMA.
Muaythi pula sumbang dua pingat gangsa menerusi Nur Insyirah Mandol dalam kategori (42-45kg wanita) dan Efron Jaidin (56-60kg lelaki)
Kejohanan yang akan berlangsung sehingga 24 Ogos itu mempertandingkan 37 jenis sukan dengan tawaran 488 pingat emas.
Sabah mensasarkan 40 pingat emas.
Sambil itu, upacara perasmian yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini semalam disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Upacara perasmian berkonsepkan Matlamat Perpaduan Negara itu turut dihadiri orang-orang kenamaan dari seluruh negara dan Brunei termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor. – Info X
