TAMBUNAN: Sukan bukan sahaja menyihatkan tubuh badan badan, malah ia dilihat mampu mengeratkan perpaduan dan silaturahim di kalangan masyarakat khususnya penduduk daerah ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, Datuk Victor P. Paut juga berkata, aktivi sukan yang diadakan menjelang sambutan Hari Sabah turut menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Fiesta Sukan DVPP Siri Pertama, di Kampung Lubong Nambayan, Tambunan pada Sabtu.
Fiesta sukan itu melibatkan dua kejohanan dipertandingkan iaitu bolasepak melibatkan 27 pasukan dan bola tampar disertai 16 pasukan dengan seramai 500 peserta.
Victor berkata, penglibatan anggota masyarakat dalam bidang sukan bukan sekadar untuk suka-suka sahaja tetapi ramai atlet daerah Tambunan telah berjaya mengharumkan nama negara menerusi kejohanan sukan di peringkat negeri mahupun antarabangsa.
“Berdasarkan penglibatan lebih ramai anggota masyarakat dalam sukan, pihak kerajaan mempertingkatkan lagi kemudahan infrastruktur sukan bagi kemudahan para atlet negeri mempersiapkan diri menyertai acara sukan yang lebih besar.
“Adalah diharapkan menerusi penganjuran aktiviti sukan seumpama ini, kita dapat mengasah dan mencungkil bakat atelit sukan daerah ini untuk diketengahkan mewakili negeri dan negara diperingkat antarabangsa,” katanya.
Bercakap kepada wartawan selepas majlis perasmian fiesta sukan itu, Victor mengajak masyarakat Tambunan agar menjadikan sukan sebagai jambatan untuk lebih bersatu padu dan saling memahami.
“Jadikan lah sukan sebagai pentas untuk kita sama-sama mengharumkan nama daerah dan negeri Sabah,” katanya.
Beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus lumus membuat persiapan sehingga kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Lubong, Tambunan dan sekitarnya yang turut hadir memberikan sokongan bagi memeriahkan lagi Fiesta Sukan ini. – Info X