KOTA KINABALU: Cawangan Maybank Jalan Pantai, dekat Jalan Gaya, di sini, yang suram setelah sekian lama tidak beroperasi ‘hidup semula’ selepas lokasi berlatar belakang bank berkenaan menjadi tumpuan pelancong China.
Setiap hari, pelancong China yang berkunjung ke bandar raya ini menjadikan lokasi berkenaan untuk bergambar, dipercayai untuk dikongsikan dengan rakan media sosial di negara mereka.
Gambar yang dirakam kemudian dimuat naik dalam aplikasi Xiaohongshu atau turut dikenali sebagai aplikasi RED, iaitu media sosial menyamai Instagram yang popular di China dengan puluhan juta pengguna aktif setiap hari.

Bergambar di lokasi berlatar belakang lambang Maybank dengan warna kuning terang itu dan memuat naik ke aplikasi Xiaohongshu dipercayai menjadi ‘trend’ pelancong China yang datang ke bandar raya ini untuk menunjukkan bahawa mereka sudah sampai ke sini.
Secara tidak langsung ia membantu mempromosi dan mempopularkan lagi bandar raya Kota Kinabalu dalam kalangan warga China untuk datang melancong ke bandar raya ini, lebih-lebih lagi dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus ditawarkan beberapa syarikat penerbangan antara bandar di China dengan Kota Kinabalu.

‘Trend’ pelancong China itu turut mendapat perhatian masyarakat setempat, termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin yang baru-baru ini memuat naik tinjauannya di lokasi terbabit dalam akaun Facebook beliau.
“Walaupun saya tidak memahami ‘trend’ ini tetapi nampaknya tempat kita menjadi begitu popular dalam kalangan pelancong, ini mencerminkan bahawa Kota Kinabalu kaya dengan sumber pelancongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut bergambar di lokasi terbabit selepas menghadiri program di Lembaga Pelancongan Sabah (STB), baru-baru ini.
Berikutan trend baharu itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) baru-baru ini mengambil inisiatif membantu Maybank membersihkan bahagian luar premisnya yang sudah sekian lama terbiar.

Contengan akibat perbuatan vandalisme di dinding zink yang menutup premis Maybank juga sudah ditutup dengan cat kuning menyerupai warna rasmi institusi perbankan berkenaan.
Cawangan Maybank Jalan Pantai ditutup sejak akhir 2017 untuk pembaikan, namun dikesan mengalami masalah struktur bangunan hingga menyebabkan terbengkalai hingga ke hari ini. – Info X