Oleh Vitalis Bingkasan
KUCHING: Skuad bola sepak wanita Sabah bakal berdepan pasukan Wilayah Persekutuan dalam aksi separuh akhir acara itu, di Stadium Negeri, di sini, petang esok.
Ini selepas skuad kendalian Petronella Douny itu berjaya muncul sebagai juara Kumpulan A selepas mengatasi Pahang 5-4 menerusi sepakan penalti yang berlangsung bagi menentukan dua kedudukan teratas kumpulan, pagi tadi.
Penentuan menerusi sepakan penalti itu dibuat berikutan kedua-dua pasukan bukan hanya berkongsi mata yang sama, malah turut mencatat jumlah jaringan serta bolos yang sama.
Sepakan penalti yang berlarutan sehingga tujuh pemain bagi setiap pasukan itu berpihak kepada Sabah dengan keputusan 5-4 untuk mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan A.
Saingan peringkat kumpulan yang berakhir semalam menyaksikan Sabah dan Pahang masing-masing mengumpul empat mata dengan empat jaringan dan satu bolos.
Pertemuan antara Sabah dan Pahang berkesudahan seri 1-1 manakala kedua-duanya menang 3-0 ke atas Sarawak.
Petronella bekata, kemenangan pada penentuan sepakan penalti itu adalah tambahan suntikan semangat buat pemain menghadapi Wilayah Persekutuan di venue sama esok.
“Sebenarnya saya tidak kisah siapa lawan di separuh akhir tetapi menang sepakan penalti ini adalah tambahan suntikan semangat buat kami.
“Kami akan cuba yang terbaik. Pemain juga dalam keadaan baik…tiada kecederaan atau digantung perlawanan, jadi saya boleh senaraikan barisan terbaik. Harap-harap percaturan kami menjadi,” katanya.
Skuad bola sepak wanita adalah antara sandaran emas Sabah di SUKMA ini. – Info X