TENOM: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar ke kebunnya di Kampung Baru Jumpa, Jalan Kemabong, di sini, malam tadi.
Mangsa Jospeh Silang, 60, dikatakan ke kebun berkenaan pada Jumaat pagi dan tidak pulang sehingga hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.36 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut pengadu iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Jumpa, mangsa keluar ke kebun pada pagi Jumaat lalu dan sehingga kini belum pulang ke rumah.
“Operasi pencarian sedang giat dijalankan oleh orang kampung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR hari kedua dimulakan pada 10.32 pagi bersama agensi keselamatan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi SAR turut disertai penduduk kampung seramai 30 orang. Setakat ini mangsa belum ditemui dan SAR masih giat dijalankan.
“Maklumat SAR akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X