KOTA KINABALU: Tindakan sebuah bot membawa lebih penumpang menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di perairan daerah ini, semalam.
Bot itu ditahan oleh bot peronda APMM Kilat 39 yang sedang melaksanakan rondaan dan operasi Op Preventive SAR di kedudukan 0.56 batu nautika selatan Pulau Mamutik, di sini.
Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati badan bot tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, enjin bot itu juga tidak sama seperti yang tercatat dalam lesen.
“Bot bersama jurahan ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM80,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Sabah dan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X