Search

Tiga warga asing ditahan cuba seludup keluar beras

August 20, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki warga asing yang disyaki cuba menyeludup 99 kampit beras ke negara jiran di perairan Pulau Matabuan, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 42 tahun itu ditahan PPM Semporna ketika menjalankan tugas rondaan, kira-kira jam 2 pagi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata, pihaknya mengesan sebuah perahu bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

“Pasukan operasi bertindak mengejar dan meminta perahu berkenaan berhenti untuk pemeriksaan dokumentasi serta barang yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan awal, juragan dan dua anak perahu terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, turut ditemukan sebanyak 99 kampit beras super import di dalam perahu suspek dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, juragan terbabit juga gagal menunjukkan surat kebenaran dari Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara terhadap semua beras yang dibawanya.

“Semua suspek terbabit ditahan, manakala beras serta perahu yang dianggarkan bernilai RM17,354.50 itu dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Barang kawalan itu kemudian diserahkan kepada Pegawai Kawal Selia Padi dan Beras Tawau, manakala kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya. – Info X