LABUAN: Seorang nelayan dikhuatiri lemas dipercayai ketika menangkap ikan di perairan Tanjung Aru, di sini, semalam.
Mangsa Ramlee Mahroff, 46, dikatakan keluar menangkap ikan menggunakan bot beringin 6 pagi semalam dan belum ditemui setakat ini.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima maklumat pada 6.30 petang semalam daripada pengadu iaitu isteri mangsa.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh pelbagai agensi serta turut dibantu orang awam.
“SAR awal dilancarkan dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) didirikan di sini bermula jam 8 malam sebelum ditangguhkan pada 12.10 tengah malam tadi.
“Pencarian hari kedua disambung seawal jam 6.30 pagi tadi dengan kekuatan seramai 104 pegawai dan anggota dengan menggunakan aset dari pelbagai jabatan,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Hamizi berkata, ia termasuk empat buah bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kita juga memperoleh bantuan tambahan sebanyak empat buah bot daripada orang awam dan syarikat persendirian serta swasta.
“SAR hari kedua ini ditumpukan di kawasan yang sering ditujui oleh mangsa untuk mendapatkan bekalan ikan berdasarkan maklumat daripada rakan serta ahli keluarganya,” katanya.
Menurutnya, pasukan keselamatan menjalankan SAR di sekitar kawasan perairan Terumbu Tompok Kerukan dan Tompok Jahat Barat serta Beting Iris membabitkan radius pencarian sehingga 16.5 batu nautika perairan Kuala Penyu dan 17 batu nautika Tanjung Aru Labuan.
“Setakat ini kita belum mengesan sebarang petunjuk daripada bot mahupun mangsa sendiri dan SAR akan diteruskan dengan kekuatan pasukan SAR yang ada.
“Kita juga mengalu-alukan orang awam serta komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkenaan mangsa supaya memaklumkan kepada PKTK atau pihak berkuasa.
“Kita juga mengharapkan perkembangan positif daripada SAR ini dan usaha pencarian akan diteruskan berdasarkan keadaan semasa meskipun keadaan cuaca di lokasi pencarian tidak menentu iaitu cabaran hujan dan berangin,” katanya. – Info X