KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan mendedahkan 115 Ahli Parlimen yang didakwanya menyokong beliau untuk kembali menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu, berkata beliau yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak akan berbuat demikian selepas dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
“Saya yakin Muhyiddin tidak akan dedah nama kesemua 115 Ahli Parlimen saperti mana yang dicabar oleh Puad Zakarshi. Ini adalah sebab beliau tidak mempunyai sokongan seramai itu dan hanya membuat andaian sendiri sahaja,” katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook beliau.
Sebelum ini Mohd Puad mencabar Muhyiddin mendedahkan senarai 115 nama Ahli Parlimen yang menyokongnya seperti yang disebut Ahli Parlimen Pagoh itu ketika ceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, minggu lalu.
Dalam ceramah itu, Muhyiddin mengungkit peristiwa pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15, termasuk mengaitkannya dengan bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tindakannya itu menyebabkan Muhyiddin dikecam dan digesa meminta maaf kepada Al-Sultan Abdullah kerana mengaitkan baginda dengan peristiwa politik yang berlaku pada ketika itu.
Sementara itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berkata jika Muhyiddin mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin apabila sebilangan Ahli Parlimen tidak mahu mengesahkannya.
“Maka pihak PN akan tolak beliau dari jawatan Pengerusi PN untuk diganti dengan seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan bijak,” katanya.
Puad melalui hantaran di akaun Facebook beliau mencabar Muhyiddin mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen terbabit selepas Muhyiddin menegaskan bahawa apa yang disebutnya dalam ceramah pada PRK Nenggiri itu adalah fakta.
“Muhyiddin menegaskan kenyataan yang dibuatnya di Nenggiri bukan menghina Institusi Raja Melayu. Dia hanya menyatakan sesuatu yang bersifat fakta.
“Kalau fakta, saya cabar Muhyiddin dedahkan nama 115 ahli Parlimen yang dia dakwa menyokongnya sebagai PMX. Jangan syok sendiri,” katanya.
Puad sebelum itu turut memuat naik satu hantaran yang menyifatkan tindakan Muhyiddin mengheret nama YDP Agong ke-16 di Nenggiri sebagai keterlaluan.
Ekoran itu, katanya Muhyiddin wajib memohon maaf secara terbuka terlebih dahulu, selain disiasat segera dan diambil tindakan tegas. – Info X