Search

Warga emas hilang 3 hari di hutan ditemui selamat

August 20, 2024

Info X Reporters

TENOM: Seorang lelaki warga emas yang hilang selama tiga hari di hutan di Kampung Baru Jumpa, Jalan Kemabong, di sini, ditemui selamat, hari ini.

Mangsa, Joseph Silang, 60-an, berjaya ditemui pada jam 12.15 tengah hari, di Kampung Masanoi, di sini, oleh orang awam yang membantu dalam misi mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Penolong Penguasa Bomba, Mudi Pengiran berkata, mangsa ditemui dalam keadaan kepenatan selepas tiga hari tersesat di dalam hutan.

Jospeh Silang ditemui dalam keadaan kepenatan selepas tiga hari tersesat di dalam hutan Kampung Baru Jumpa, Tenom. – Foto/Bomba

Katanya, lokasi penemuan mangsa terletak di kampung bersebelahan daripada tempat terakhir mangsa hilang.

“Mangsa ditemui kepenatan dan terus diberikan rawatan awal bagi memastikannya dalam keadaan selamat.

“Pasukan operasi kemudiannya menyerahkan mangsa kepada ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.

Jospeh Silang, 60, ditemui selamat selepas tiga hari hilang di hutan Kampung Baru Jumpa, Tenom. – Foto/Bomba

Sementara itu katanya, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan selama tiga hari itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.

Katanya, operasi pencarian turut menggunakan khidmat Unit Pengesan K9 yang dikendalikan pegawai bomba Harry Holy dan Rwenveselin. – Info X