Search

RM60 juta untuk bina fasa 2 IPDAS Keningau

August 20, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan fasa dua Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau bagi menampung pertambahan seramai 300 pelajar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembinaan yang sedang dilaksanakan itu dijangka siap pada Mac 2026, menjadikan kapasiti sebenar mahasiswa yang boleh ditampung IPDAS Kampus Keningau, kepada seramai 700 orang.

“Saya yakin, dengan pertambahan jumlah mahasiswa itu nanti, IPDAS akan dibekalkan dengan pensyarah dan tenaga kerja yang terlatih dan mencukupi bagi memastikan projek ini bukan saja mampu memberi kemudahan infra lebih kondusif kepada mahasiswa dan warga kerjanya, bahkan mampu melonjakkan lagi kualiti pendidikan di Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengambil berat soal menaik taraf kemudahan pendidikan di Sabah, khususnya IPDAS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-18,Tahun 2024 di Dewan Tun Sakaran, IPDAS Keningau, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik dan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.

Hajiji yakin IPDAS sebagai sebuah institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di bawah JAKIM berupaya menggalas tanggungjawab melahirkan generasi Rabbani yang berpendidikan tinggi dan membentuk modal insan yang berkeupayaan sebagai pendakwah profesional dalam masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri mempelawa pelabur datang dan melabur di Sabah dengan tujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

Jelasnya, ia juga mendedahkan anak-anak tempatan kepada berbagai jenis latihan, termasuk latihan kemahiran, di samping menggalakkan pemindahan teknologi tinggi untuk dimanfaat rakyat negeri ini.

“Ini sebenarnya menjadi aktiviti ke arah pembangunan modal insan, di samping pembangunan sektor ekonomi negeri seperti yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Hajiji menyampaikan Anugerah Pingat Emas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah kepada Mohd Ibnu Al-Khair Awang Besar (Diploma Dakwah Islamiah) pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-18 IPDAS Keningau.

Katanya, dengan adanya pelabur asing membuka kilang, mendirikan gedung-gedung perniagaan, melabur dalam pelbagai bidang pertanian dan perindustrian akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan anak-anak negeri ini dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan.

Beliau berkata, ia seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.

Hajiji menyampaikan Anugerah Ketua Menteri kepada Nur Syahfinaz Mohd Isa (Diploma Dakwah Islamiah) pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-18 IPDAS Keningau.

“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sabah khususnya,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan graduan yang berhasrat menerokai alam pekerjaan agar tidak terlalu memilih kerja dan menginginkan gaji yang besar semata-mata, kerana zaman kini tidak sama seperti zaman dahulu yang mana jawatan kosong sentiasa tersedia untuk diisi.

Katanya, istiadat konvokesyen itu juga adalah simbol kejayaan IPDAS dalam menghasilkan warga yang berilmu dan bertaqwa, setanding dengan pencapaian institusi pengajian tinggi lain di negara ini. – Info X