KOTA KINABALU: Sabah FC hari ini mengumumkan penyerang import baharunya bagi memperkuat serangan pasukan sepanjang baki saingan Liga Super musim ini.
Pemain berusia 24 tahun berasal dari Brazil itu, João Pedro Boeira Duarte mengikut kontrak selama sembilan bulan berkuatkuasa 15 Ogos 2024 hingga 30 April 2025.
Duarte dibawa masuk bagi mengisi slot perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2024 / 2025 selepas menamatkan kontrak bersama Viettel FC (Vietnam) pada Julai lalu.
Beliau menggantikan tempat Ramon Machado yang mengambil keputusan menamatkan kontrak lebih awal bersama Sabah pada Julai lalu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pengurusan Sabah FC hari ini, skuad Sang Badak adalah destinasi kedua beliau di Asia Tenggara selepas Viettel yang disertainya sejak Mac lalu.
“Kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera serangan Sabah FC selepas Ramon Machado memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal bersama Sabah FC,” kata kenyataan itu.

Duarte menandatangani kontrak bersama Sabah FC di hadapan Pengurus Besar pasukan, Mohd Joh Wid, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan kelulusan pengurusan tertinggi badan sukan bola sepak Sabah itu untuk menambah seorang pemain import.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar laporan yang dikemukakan Sabah FC mengenai keperluan mengambil penyerang import.
Katanya, usaha memperkuat pasukan itu juga mengambil kira saranan penyokong Sabah FC dan peminat bola sepak Sabah keseluruhannya berhubung keperluan kelab berkenaan. – Info X