TUARAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Kampung Sinulihan, di sini, semalam ditemui selamat, hari ini.
Akun Kalawot, 80, ditemui pasukan polis di kawasan kebun halia dalam keadaan selamat dan lemah, pada jam 3.10 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Nor Amit berkata, sebaik menerima maklumat mangsa ditemui, pasukan bomba ke lokasi berkenaan.
“Mangsa ditemui oleh pasukan polis di kawasan kebun halia kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Pasukan bomba seterusnya ke lokasi untuk membantu mengangkat dan seterusnya mangsa diberi rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas memberi rawatan, mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang,” katanya.
Semalam, mangsa dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Kampung Sinulihan, Tuaran.
Pasukan penyelamat terdiri daripada pelbagai agensi kemudian digerakkan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR). – Info X