Search

Wanita jatuh laut selepas diserang sawan

August 22, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang wanita berjaya diselamatkan selepas terjatuh ke laut melalui lubang lantai rumahnya di rumah atas air di Jalan Buli Sim-Sim Jambatan 23, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, Wanita berusia 34 tahun terbabit dilaporkan mengalami penyakit sawan sebelum terjatuh ke dalam air di bawah rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.24 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebaik diselamatkan selepas terjatuh ke dalam laut di Jalan Buli Sim-Sim, Jambatan 23, Sandakan. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba mendapati terdapat seorang wanita dipercayai mengalami sakit sawan jatuh ke dalam air melalui lubang lantai rumahnya.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya diangkat oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak membantu membawa naik mangsa ke daratan bersama dengan penduduk kampung.

Mangsa terjatuh di lubang lantai rumahnya di Jalan Buli Sim-Sim, Jambatan 23, Sandakan. – Foto/Bomba

“Mangsa yang separa sedar itu diberikan rawatan awal oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Hospital Sandakan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi,” katanya. – Info X