KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengikut jejak kerajaan persekutuan berhubung pelarasan gaji penjawat awam yang menyaksikan kenaikan antara tujuh hingga 15 peratus mulai Disember depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata apa yang diputuskan oleh kerajaan persekutuan itu akan dituruti oleh kerajaan negeri untuk faedah penjawat awamnya.
“Kita memang akan selaraskan pembayaran gaji mengikut apa yang telah dirancang oleh kerajaan persekutuan. Jadi kita akan bayar mengikut apa yang diputuskan,” katanya, di sini.
Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian European Wellness Premier Center, di sini, hari ini.
Hajiji ditanya sama ada penjawat awam negeri turut menerima kenaikan gaji seperti dinikmati penjawat awam persekutuan berikutan pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Katanya, sama seperti penjawat awam persekutuan, penjawat awam negeri juga akan menikmati kenaikan gaji mulai Disember depan.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam persekutuan dengan kenaikan 15 peratus bagi kumpulan pelaksana dan tujuh peratus bagi pengurusan tertinggi.
Pelarasan itu susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember depan membabitkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam persekutuan.
Anwar bagaimanapun menjelaskan pelarasan itu dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini, manakala fasa seterusnya bermula pada 1 Januari 2026.
Jelasnya, kerajaan terpaksa melaksanakan pelarasan itu secara berperingkat disebabkan kekangan dan untuk mengelakkan tekanan inflasi.
“Pelarasan gaji bagi pegawai kumpulan pelaksana, pegawai kumpulan pengurusan dan profesional adalah sebanyak lapan peratus pada pertama dan tujuh peratus pada fasa kedua.
“Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, kadar kenaikan adalah sebanyak empat peratus bagi fasa pertama dan tiga peratus pada fasa kedua,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19, di Putrajaya, pada 16 Ogos lalu. – Info X