Search

ALC kukuhkan hubungan Malaysia-Brunei

August 26, 2024

Info X Reporters

BANDAR SERI BEGAWAN: Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Malaysia-Brunei menjadi petanda baik untuk penyatuan kerjasama menguntungkan dan menang-menang di antara kedua negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata rundingan itu membolehkan kedua-dua negara meneruskan kerjasama meluas dalam konteks hubungan dua hala.

“Ia membolehkan kedua-dua negara meneruskan kerjasama meluas dalam konteks hubungan Malaysia-Brunei dan Sabah-Brunei yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Menteri mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ALC Ke-25, hari ini.

Ia adalah pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua negara yang diadakan di Istana Nurul Iman, di sini, hari ini.

Dalam rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara dan Brunei yang diketuai Sultan Hassanal Bolkiah, menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Instrumen Dua Hala antara Kerajaan Malaysia dan Brunei Darrusalam.

Selain meneroka peluang baharu untuk manfaat bersama, kemajuan kerjasama dua hala sedia ada turut dibincangkan dalam pertemuan itu.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – Info X