Search

Hari Sabah sejarah yang tercicir – Jeffrey

August 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tarikh 31 Ogos 1963 disifatkan sebagai sejarah Sabah yang tercicir sebelum tarikh itu diwartakan sebagai Hari Sabah pada 5 Jun lalu dan disambut secara rasmi mulai 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata tarikh itu yang menandakan pembebasan atau kemerdekaan Sabah daripada penjajahan British tidak pernah diraikan selama 60 tahun.

Katanya, berdasarkan rekod sejarah, 31 Ogos 1963 ditetapkan sebagai Hari Kemerdekaan Sabah yang sepatutnya berlaku serentak dengan pengisytiharan Malaysia, namun pembentukan negara baharu itu hanya direalisasikan pada 16 September 1963.

Beliau berkata, tarikh 31 Ogos itu diputuskan oleh Majlis Undangan Borneo Utara pada 8 Ogos 1963 sebagai tarikh kemerdekaan Sabah yang tetap dijadikan kenyataan walaupun Malaysia tidak dapat dibentuk pada tarikh yang sama.

Jeffrey menunjukkan poster sambutan Hari Sabah 2024.

“Pada 8 Ogos 1963, Majlis Undangan Borneo Utara, melalui pemimpin yang dipilih membuat keputusan sebulat suara untuk mengumumkan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 sama ada Malaysia menjadi kenyataan atau tidak pada tarikh itu, tapi Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.

“Keputusan untuk memerdekakan Sabah pada 31 Ogos direstui oleh British, yang mana secara bertulis mereka bersetuju untuk melepaskan Sabah sebagai tanah jajahan dan merestui tuntutan Sabah untuk berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963.

“Sejarah yang tercicir ini amat penting sebab di sinilah (asasnya) apabila kita menuntut hak sama taraf dengan Sarawak dan Malaya (Semenanjung) yang kini sudahpun menjadi kenyataan,” katanya pada sidang media sambutan Hari Sabah 2024, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2024, berkata sejarah Hari Sabah tercicir kerana ketika penubuhan Malaysia, hasrat pemimpin Sabah ketika itu adalah memastikan Sabah merdeka terlebih dahulu sebelum memikirkan penubuhan Malaysia.

Jeffrey pada sidang media Hari Sabah di Kota Kinabalu.

“Hasrat ini timbul disebabkan kita tidak mahu dijajah semula selepas bebas daripada penjajah. Bagaimanapun semasa penubuhan Malaysia banyak proses perlu dilalui dan banyak juga tentangan termasuk dari negara luar.

“Mereka juga ada hak terhadap Sabah dan kalau Malaysia ditubuh, mereka ingin supaya Sabah yang membuat keputusan dan mereka minta supaya ada intervensi daripada Pertububan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini memanjangkan proses penubuhan Malaysia hingga 16 September 1963. Bagaimanapun, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah ditandatangani pada 9 Julai 1963, ketika Sabah masih di bawah koloni British dan kemerdekaan Sabah tetap berlaku pada 31 Ogos 1963,” katanya.

Berikutan pewartaan Hari Sabah oleh kerajaan negeri pada 5 Jun lalu, katanya sejarah yang berkaitan dengan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 perlu dimasukkan dalam pembelajaran sejarah di sekolah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, kerajaan negeri akan mengusulkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan fakta kemerdekaan Sabah diketahui generasi muda.

Sementara itu, katanya sambutan rasmi Hari Sabah yang julung kali pada tahun ini diadakan di Padang Merdeka, di sini, bermula jam 6 petang, 31 Ogos ini.

Pelbagai acara, termasuk pameran berkaitan sejarah Hari Sabah disediakan kepada orang ramai sempena sambutan pada hari berkenaan. – Info X