KOTA KINABALU : Sabah FC bersedia menurunkan beberapa pemain skuad Liga Super untuk membantu memantapkan Sabah FC II dalam mengharungi kempen Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata beliau memahami kedudukan skuad junior itu yang memerlukan sokongan dalam usaha meningkatkan prestasinya di bawah kejurulatihan baharu.
Katanya, ketya jurulatih baharu Sabah FC II, Alto Linus memerlukan masa untuk nelaksanakan perancangannya termasuk memperbaiki taktikal pasukan bagi mencatat keputusan positif pada perlawanan akan datang.
“Kita kena faham bahawa Sabah FC II ini tidak mempunyai keputusan yang memberangsangkan dan baru mengalami pertukaran kejurulatihan, jadi sudah tentu ia memerlukan masa.
“Kita memberi jaminan pasukan Liga Super akan membantu menurunkan beberapa pemain senior yang tidak mendapat minit permainan untuk membantu Sabah FC II mendapat keputusan positif,” katanya dalam satu kenyataan.
Kim Swee berkata, beliau yakin Alto akan memikirkan beberapa program perancangan yang lebih teratur untuk memastikan pasukannya dapat bersaing dalam Liga MFL.
“Jangan terlalu mengharapkan keputusan positif dalam sekelip mata berikutan semua pemain sebelum ini bersama jurulatih yang lain dan kini bersama dengan jurulatih yang baharu.
“Kalau kita lihat dari satu perlawanan ke satu perlawanan semenjak Alto mengambil alih, beberapa perkara positif berlaku tetapi masih lagi ada banyak kelemahan untuk diperbaikinya,” katanya. – Info X