KOTA KINABALU: Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj Kapal Diraja (KD) Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, Johor akan dibawa pulang ke Lahad Datu.
Anggota terbabit ialah Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA).
TLDM dalam satu kenyataan berkata, jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultan Ismail, Johor untuk bedah siasat sebelum dibawa ke Lahad Datu untuk pengebumian.
Katanya, TLDM akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham.
“TLDM menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya.
Sementara itu, katanya, Lembaga Siasatan Khas juga sudah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian penyelam TLDM itu meninggal dunia.
KD Pendekar dilaporkan tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lalu.
Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam. – Info X