KOTA KINABALU: PKR Sabah sekali lagi menafikan dakwaan tidak menjemput pemimpin Parti Warisan ke program Himpunan Perdana Rakyat di SICC pada 4 Ogos lalu.
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, menegaskan PKR Sabah menjemput semua pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Warisan, namun pemimpin parti itu yang tidak dapat datang ke program berkenaan.
“Kita ada salinan surat jemputan dan bukti bahawa PKR sudah menghantar jemputan kepada Warisan.
“Malah, kita juga ada bukti maklum balas Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Sipin Padua yang mengatakan pemimpin mereka tidak dapat hadir kerana ada program ‘retreat’.
“Oleh itu kami tidak mahu lagi timbul fitnah kononnya kami (PKR) tidak menjemput Warisan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Razeef berkata, PKR Sabah menghantar surat jemputan melalui aplikasi Whatsapp pada 23 Julai lalu sebelum dijawab oleh Loretto pada 31 Julai apabila ditanya sama ada pemimpin Warisan hadir atau tidak pada program himpunan itu.
Jawapan beliau itu sebagai maklum balas terhadap dakwaan pihak tertentu baru-baru ini yang mengatakan PKR sengaja tidak menjemput Warisan sebagai satu usaha menghalang kerjasama parti itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beberapa pemimpin PKR sebelum ini sudah menafikan dakwaan itu, termasuk berkaitan tuduhan kononnya PKR Sabah menjadi penghalang hubungan kerjasama di antara Warisan dan BN. – Info X